Our Newsletter


Orang Mukmin Sentiasa Memakan Makanan Yang Halal dan Menjauhi Makanan Haram dan Syubhat

Posted on 16th Mar 2013 @ 1:30 PM

Orang Mukmin Sentiasa Memakan Makanan Yang Halal dan Menjauhi Makanan Haram dan Syubhat

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT telah menyediakan rezeki yang banyak dimuka bumi ini untuk semua makhluk-Nya. Rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT semuanya halal kecuali apa yang dijelaskan di dalam al-Quran  dan hadis Nabi SAW.

Halal ertinya boleh, jadi makanan yang halal ialah makanan yang dibolehkan untuk dimakan menurut ketentuan syariat Islam, segala sesuatu baik berupa tumbuhan, buah-buahan ataupun binatang pada dasarnya adalah halal dimakan, kecuali apabila ada nash Al-Quran atau Al-Hadis yang menjelaskannyanya. Ada kemungkinan sesuatu itu menjadi haram kerana memberi mudarat bagi kehidupan manusia seperti racun, barang-barang yang menjijikan , binatang yang mempunyai bakteri atau kuman dan sebagainya.

Allah berfirman SWT maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah.” (Surah al-Baqarah ayat 172)

Dari Abu Hurairah r.a ia berkata : Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT adalah Zat Yang Maha Baik, tidak mau menerima kecuali yang baik, dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin sesuai dengan apa yang diperintahkan kepada para Rasul. Allah Ta’ala berfirman (maksudnya) : "Wahai para Rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal yang soleh. Allah Ta’ala berfirman (maksudnya) : "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu sekalian…”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW, ditanya tentang minyak sanin, keju dan kulit binatang yang dipergunakan untuk perhiasan atau tempat duduk. Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Apa yang dihalalkan oleh Allah dalam Kitab-Nya adalah halal dan apa yang diharamkan Allah di dalam Kitab-Nya adalah haram, dan apa yang didiamkan (tidak diterangkan), maka barang itu termasuk yang dimaafkan”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Turmudzi).

Berdasarkan firman Allah dan hadis Nabi SAW, dapat disimpulkan bahwa jenis-jenis makanan yang halal ialah :

1. Semua makanan yang baik, tidak kotor dan tidak menjijikan.
2. Semua makanan yang tidak diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya.
3. semua makanan yang tidak memberi mudarat, tidak membahayakan kesihatan jasmani dan tidak merosak akal, moral, dan akidah.
4. Binatang yang hidup di dalam air, baik air laut maupun air tawar.

Kategori produk dan pemakanan dalam Islam

1- Halal - Guna, perkenal dan niagakan. (Semua bahan mentah dan ramuan yang terbabit dalam penghasilannya dalah halal. Selamat untuk akal dan tubuh badan, bebas dari bahan mentah dan ramuan najis, tidak dari sumber babi, anjing dan binatang najis, tidak diproses, disedia atau dikilang alat-alat yg tidak bebas dari benda najis.)

2- Haram -Jauhi sejauh-jauhnya produk yang yang tidak diizinkan syarak untuk diguna atau dinikmati oleh umat Islam khususnya.(kerana boleh mendatangkan mudarat kepada tubuh badan , akal, guna bahan ramuan dianggap najis, ramuan dari binatang yang tak dibenarkan, binatang yang tak disembelih dan cara pemprosesan yang melanggar kehendak syarak)

3- Syubhah - Diragui status samaada halal atau haram. Langkah yang terbaik adalah meninggalkannya.

An-Nu'man bin Basyir berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat (syubhat / samar, tidak jelas halal-haramnya), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barangsiapa yang menjaga hal-hal musyabbihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, barangsiapa yang terjerumus dalam syubhat, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya...".
(Hadis Riwayat Bukhari)

Sesuatu yang telah disepakati oleh para ulama ialah: asal hukum dalam semua perkara -kecuali ibadah yang mempunyai kaedah lain- adalah harus hingga datang dalil yang menunjukkan kepada haram. Ini berdasarkan kaedah: "Perkara yang haram ialah apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya manakala apa yang didiamkan daripadanya adalah suatu yang dimaafkan."

Sungguhpun begitu al-Quran telah memberikan panduan tentang makanan yang bagaimanakah yang perlu dan boleh dimakan.

1. Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan  kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu” (Surah al-Baqarah ayat 168)

2. Firman Allah SWT maksudnya : “Dia menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk” (Surah al-A’raf ayat 157)

Al-Quran telah menegaskan bahawa makanan yang dihalalkan oleh Allah ialah yang baik-baik sahaja. Justeru itu makanan yang memudaratkan agama dan kesihatan adalah haram dan termasuk di dalam al-khbai’th.

Perkara-perkara yang diharamkan:

 1) Bangkai.

Ini berdasarkan firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah; 'Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi, kerana sesungguhnya semua itu kotor atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah. Barang siapa yang dalam keadaan terpaksa sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-An’am ayat 145)

2) Darah yang mengalir.

Dalilnya ialah ayat-ayat di atas.
Ibn Abbas r.a telah ditanya tentang limpa, lalu beliau menjawab: “makanlah”, lalu mereka berkata: “ia adalah darah”, jawab beliau: “yang diharamkan kepada kamu hanyalah darah yang mengalir”.

3) Babi.

Dalilnya ialah ayat-ayat di atas.(Surah al-An'am ayat 145)

4) Sembelihan untuk selain daripada Allah.
Dalilnya ialah ayat-ayat di atas. (Surah al-An'am ayat 145)

Maksudnya ialah binatang disebutkan nama selain dari Allah semasa penyembelihan itu. Begitu juga sembelihan yang ditujukan kepada selain daripada Allah, samada disebut namanya atau tidak semasa penyembelihan, bahkan sekalipun dibacakan bismillah.

5) Semua binatang buas (as-Siba’) yang bertaring.

Kata Ibn al-Athir: “iaitu binatang pemangsa yang memakan secara menerkam seperti: singa, harimau, serigala dan seumpamanya.

Sabda Nabi SAW maksudnya :“Setiap yang memiliki taring dari kalangan pemangsa, maka memakannya adalah haram“. (Hadis Riwayat Malik, Muslim dan lain-lain dari hadis Abi Tha’labah al-Khusyani).

Al-Syafi’e berpandangan bahawa as-siba’ yang diharamkan ialah yang menyerang manusia seperti singa, harimau dan serigala.

6) Semua jenis burung berkuku tajam dan menyambar.

Dalilnya ialah hadis Ibn Abbas, katanya: “Rasulullah SAW melarang (memakan) setiap yang bertaring dari binatang buas dan setiap yang berkuku (claw) dari burung.” (Hadis Riwayat Muslim)

Adapun yang dimaksudkan dengan burung yang mempunyai kuku ialah: yang kukunya tajam digunakan untuk menangkap dan melukakan serta mengoyak mangsa. Contohnya: helang, enggang, gagak dan layang-layang. Dikecualikan daripadanya: merpati dan burung-burung kecil; kerana ia termasuk dalam al-mustatob (perkara yang dipandang baik).

7) Keldai peliharaan.

Di antara perkara yang diharamkan oleh Nabi SAW dalam peperangan Khaibar ialah keldai peliharaan. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Para ulama sepakat tentang halalnya keldai liar -dan kuda belang dan seladang

Nabi SAW telah dihadiahkan dengan keldai liar lalu baginda memakannya. (Hadis Riwayat al-Bukhari dari hadis Abi Qatadah).

Al-Jallalah (Binatang yang memakan kotoran).

Iaitu binatang yang memakan kotoran dan sesuatu yang menjijikkan. Ibn Hazm menghadkannya hanya kepada yang berkaki empat sedangkan Ibn Hajar menyatakan ianya umum. Dalilnya:

1. Hadis Ibn Umar: Rasulullah SAW melarang dari memakan al-jallalah dan meminum susunya. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan at-Tirmizi yang mensahihkannya).

2. Hadis Ibn Abbas: Larangan itu ialah tentang memakan al-jallalah dan meminum susunya. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa-i, Ibn Majah, al-Hakim. At-Tirmizi mensahihkannya).

9) Anjing dan kucing.
Hampir tiada khilaf di kalangan ulama tentang pengharaman anjing .Pengharaman anjing datang dengan beberapa faktor:

a).  Ia adalah najis menurut jumhur ulama; lantaran arahan Nabi SAW supaya bekas yang dijilat oleh anjing hendaklah dibasuh 7 kali yang pertama dengan air tanah. (Hadis Riwayat Muslim).

b). Ia termasuk di dalam al-mustakhbath (yang dipandang jijik);

c). Ia memakan kotoran.
    Larangan Nabi SAW daripada memakan harga anjing dan kucing. (Riwayat as-sahih).

10) Semua jenis binatang yang menjijikkan.

Firman Allah SWT:
” dan Dia menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk” (Surah al-A’raf ayat 157)

Kebanyakan ulama memberikan garis panduan dalam hal ini seperi berikut:

Apa yang dipandang jijik dan kotor oleh manusia (yang murni fitrahnya) dari jenis haiwan – bukan kerana sesuatu ‘illah atau kerana tidak biasa sebaliknya semata-mata kerana menganggapnya jijik, maka ia adalah haram.
Apabila sebahagian manusia menganggapnya jijik sedangkan yang tidak, maka yang diambil kira ialah tanggap majoriti.

Setiap yang jijik di sisi syarak itu tentulah akan memudaratkan diri dan agama manusia.
Kebanyakan haiwan yang tidak dimakan oleh manusia sedangkan tiada dalil yang jelas menunjukkan ia haram, merupakan haiwan dari kategori ini.

11) Semua binatang yang diarahkan untuk dibunuh atau dilarang dari dibunuh.

Sebilangan ulama berpendapat bahawa binatang-binatang yang dilarang oleh Nabi SAW dari membunuhnya atau yang diarahkan untuk membunuhnya adalah haram.

Binatang yang diarahkan bunuh:

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Dari ‘Aisyah bahawa Rasul SAW bersabda: "5 jenis binatang semuanya fawasiq boleh dibunuh di Tanah Haram: burung gagak, burung layang-layang, kala jengking, tikus, anjing dan al-’aqur (sejenis binatang yang menggigit).” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, at-Tirmizi dan an-Nasai).

Binatang yang dilarang bunuh:

Sabda Nabi SAW maksudnya :Dari Ibn Abbas bahawa Nabi SAW telah melarang daripada membunuh 4 jenis binatang: semut, lebah, belatuk dan nuri.

12) Binatang beracun samada yang ikan atau selainnya, diburu atau dijumpai mati.

Ini adalah jelas kerana Islam melarang al-khabai’th. Juga dengan umum ayat:
Firman Allah SWT  maksudnya : ” Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-Baqarah ayat 195)

13) Haiwan dua alam:

Kata al-Qadi Ibn al-’Arabi: Pendapat yang sahih berhubung haiwan yang hidup di darat dan air ialah dilarang; kerana terdapat percanggahan dalil halal dan haram. Lalu kami memenangkan dalil haram sebagai langkah berhati-hati (ihtiyat).

Sementara sebilangan ulama pula berpandangan bahawa semua haiwan yang memang hidup di laut adalah halal sekalipun ia mungkin boleh hidup di daratan kecuali katak kerana ada dalil lain berhubungnya.

14) Binatang yang tidak disebutkan statusnya:

Berdasarkan sabda Nabi SAW maksudnya :“Apa yang Allah halalkan di dalam kitab-Nya, maka ia halal. Apa yang Allah haramkan, maka ia haram. Apa yang Allah diamkan tentangnya, maka ia adalah dimaafkan.” (Hadis Riwayat al-Bazzar dan katanya: sanadnya sahih, juga disahihkan oleh al-Hakim).

Apa yang dinyatakan di sini adalah secara ringkas saja jenis-jenis perkara-perkara yang diharamkan memakannya berhubung persoalan halal dan haramnya binatang-binatang yang mempunyai berbagai-bagai spesis. Pendetailan tajuk boleh dirujuk di dalam kitab-kitab tafsir dan hadis ahkam serta buku-buku Fiqh.

Sahabat yang dimuliakan,
Selain daripada perkara yang diharamkan seperti  di atas, terdapat lagi beberapa  perkara lain yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

1. Minuman keras (arak) (Terdapat 10 perkara yag dilarang mereka yang  terlibat dengan arak)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesuatu yang memabukkan dalam keadaan banyak, maka dalam keadaan sedikit juga tetap haram.” (Hadis Riwayat An-Nasa’i, Abu Dawud dan Turmudzi).

2. Makan hasil curi dan penipuan, pelacuran dan perbomohan.

Rasululullah SAW enggan makan daging kambing yang dihidangkan kepadanya dan berkata yang bermaksud : “Aku mendapati daging kambing ini diambil tanpa izin dari pemiliknya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

 Abu Mas’ud al-Ansari ra berkata:  “Nabi SAW menegah dari harta hasil jualan anjing, hasil pelacuran dan hasil perbomohon (dengan cara yang dilarang).” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Hasil daripada menggambil riba

Firman Allah SWT maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu ..." (Surah al Baqarah ayat 278-279)

4. Menggambil duit rasuah

Sabda Rasulullah SAW maksudnya :  “ Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api Neraka”. (Hadis Riwayat at-Tabrani)

5. Hasil daripada bermain judi

Allah berfirman maksudnya : "Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”. (Surah al-Baqarah ayat 219)

6. Hasil daripada jualan barang haram seperti daging babi, anjing, arak, dadah dan lain-lain

Haram ertinya dilarang, jadi makanan yang haram adalah makanan yang dilarang oleh syarak untuk dimakan. Termasuk sumber daripada jualan barang-barang yang haram adalah haram.

 Apakah kesan dan akibat buruk yang akan diterima oleh sesiapa yang memakan dan mengambil benda haram?
Akibat-akibatnya adalahg seperti berikut :

1. Doa orang yang memakan daripada sumber yang haram atau makanan dan minuman yang haram tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.

Di riwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya : “Kemudian Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam menyebutkan orang yang lama bepergian, rambutnya kusut, berdebu, dan menengadahkan kedua tangannya ke langit, 'Wahai Rabb-ku, wahai Rabb-ku,' padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan diberi makan dengan yang haram, bagaimana doanya dikabulkan?”

2. Kehidupan seseorang yang menggunakan sumber yang haram atau makanannya dari barang yang haram tidak berkat, rumah tangga akan porak peranda dan jiwa anak-anak tidak akan tenang, syaitan akan mudah menguasai mereka.

Nabi berwasiat kepada Sayyidina Ali k.wj maksudnya : "Wahai Ali ! Orang yang mencari rezeki haram, apabila ia berjalan kaki , syaitan selalu mememaninya. Dan kalau ia naik kenderaan, syaitan ikut membonceng. Orang yang mengumpulkan harta haram, syaitan selalu ikut makan bersamanya. Wahai Ali ! Seorang mukmin selalu meningkat agamanya selama ia tidak memakan yang haram."

2. Jika meninggal dunai dan  tidak sempat bertaubat dia akan dihumbankan ke dalam api neraka .

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya". (Hadis Riwayat Al-Tarmizi)

3. Menyebabkan Allah S.W.T murka. (Apabila perkara haram menjadi amalan manusia samaada daripada makanan, minuman, perbuatan, pekerjaan dan lain-lain)

Alllah S.W.T. akan menurunkan bala dalam bentuk kehancuran sesebuah negara. Mereka yang terlibat secara langsung juga telah turut menyumbang kepada kehancuran tamadun bangsa dan negaranya sendiri. Sebab itulah seseorang yang mempunyai sifat amanah dan tanggungjawab yang tinggi serta iman yang mantap dan kuat, sudah pasti tidak sanggup melakukan dosa yang sebegini berat, yang akan memberikan kesan yang cukup besar kepada diri dan umat manusia seluruhnya. Firman Allah S.W.T. bermaksud :
"Dan apabila sampai tempoh kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya saat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya, maka berhaklah negeri binasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya".(Surah Al-Isra' ayat 16)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita supaya dapat dijauhi semua perkara-perkara yang haram  dan mendatangkan dosa samaada makanan, minuman, pekerjaan, pergaulan, perjuangan dan amalan kehidupan sehari-hari. Ambillah ajaran Islam sepenuhnya dalam kehidupan kita dan laksanakan semua perintah Allah SWT  dan tinggalkan semua larangan-Nya. Ikutilah sunnah Rasulullah SAW dan tinggalkan perkara bid'ah dalam agama kerana banyak bid'ah yang di ajarkan oleh Yahudi dan Nasrani adalah  sesat dan menyesatkan.Sentiasalah bertaubat kepada Allah SWT dan mendekatkan diri kepada-Nya.